Keratan Akhbar

15/06/2017
Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal membuka minda orang luar bandar di wilayah Pantai Timur bahawa era moden telah tiba di kawasan mereka, kata Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Ra­zak semasa majlis pe­rasmian Latihan Industri Projek ECRL Negaraku di Kementerian Kewangan, semalam. Ia bukan sahaja dilihat sebagai sebuah projek game changer (penukar permainan), malah mampu menjadi mindset changer (penukar minda). Berdasarkan kajian, sebanyak 95% responden menyokong pelaksanaan projek ECRL ini sekali gus menunjukkan ia mendapat sokongan dan dorongan daripada rakyat. Sementara itu, sebanyak 13 memorandum persefahaman (MoU) telah dipersetujui dan ditandatangani melibatkan beberapa pihak.
14/06/2017

Berita Harian (Dasar & Pentadbiran: m/s 6) – Kompleks percetakan Al-Quran kedua terbesar dunia, Nasyrul Quran di Presint 14, Putrajaya yang bernilai RM60 juta memulakan operasi percetakan dan penjilidan secara rasmi  bermula semalam. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merasmikannya berkata Nasyrul Quran yang mula dibina tahun lepas bukan untuk bersaing dengan negara pencetak lain tetapi merupakan bentuk sumbangan Malaysia dalam mengembang dan memartabatkan kitab suci umat Islam itu di persada dunia. Pengoperasian kompleks itu akan menjamin usaha menampung keperluan Al-Quran di peringkat domestik dan dunia kerana populasi umat Islam dijangka mencecah tiga bilion orang daripada sembilan bilion penduduk dunia pada 2050.

07/06/2017

New Straits Times (News: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang hadir merasmikan siaran digital MyFreeview menyatakan, sebanyak 4.2 juta dekoder percuma diperuntukkan untuk isi rumah dalam senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi membolehkan golongan itu menikmati siaran digital secara percuma tanpa yuran bulanan. Langkah tersebut adalah satu lagi usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat serta mempercepatkan lagi proses migrasi daripada analog ke digital. Berbanding negara-negara maju serta tetangga dalam ASEAN, Malaysia merupakan salah satu negara yang mengambil pendekatan menyediakan dekoder percuma untuk rakyat terutamanya bagi mereka yang memerlukan bantuan.

06/06/2017

New Straits Times (News: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berpuas hati dengan kemajuan projek pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) yang bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan global di rantau ini. Projek pembangunan ikonik TRX yang seluas 28 hektar itu terletak di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur akan menempatkan kediaman, kemudahan runcit, hospitaliti, pusat hiburan dan budaya yang bertaraf dunia. Mengulas mengenai isu negara-negara di Timur Tengah, beliau berkata Malaysia akan terus memantau perkembangan semasa sama ada ia akan mempunyai kesan ke atas hubungan dengan Malaysia.

02/06/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa gembira dengan prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh dalam suku pertama tahun ini, di mana Keluaran Da­lam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.6% dengan penggunaan swasta yang tinggi dan pelaburan sebagai pemacu utama pertumbuhan disokong oleh pres­tasi bertambah baik sektor luar. Malaysia juga terus mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM18.9 bilion, selain ke­dua-dua eksport dan import ber­kembang pada 21.4% dan 27.7%, masing-masing kepada RM224.7 bilion dan RM205.8 bilion, dalam suku pertama 2017.

01/06/2017

New Straits Times (News: m/s 24) – Pengerusi Lembaga Tabung Haji (LTH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya menyasarkan untuk memendekkan tempoh menunggu menunaikan haji bagi setiap pendaftaran kepada 50 tahun pada masa akan datang berbanding 89 tahun buat masa ini. Sasaran itu mampu dicapai menerusi hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berikutan penambahan kuota jemaah haji seperti yang diumumkan baru-baru ini. Malaysia akan menerima penambahan kuota sehingga 40,000 jemaah tahun depan berbanding 35,000 pada tahun ini, sekali gus menyaksikan tempoh menunggu disingkatkan. Dalam pada itu, bagi memberi kemudahan kepada jemaah Malaysia, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan tanah di Mekah dan Madinah untuk membina Kompleks Tabung Haji bagi menempatkan jemaah sepanjang tempoh menunaikan ibadah haji.

30/05/2017

New Straits Times (News: m/s 5) – Lapan kementerian berjaya mencapai sasaran 100% Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) bagi tahun lepas, iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Luar; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, antara pencapaian utama PEB kementerian dan agensi bagi 2016 adalah apabila sebanyak 63.8% nilai anggaran kerja tahunan telah diperuntukkan kepada kontraktor Bumiputera dalam projek pembinaan lebuh raya utama. Jelas beliau lagi, KPI PEB Kementerian untuk tahun ini pula adalah selari dengan strategi dan sasaran Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMKe-11) dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0.

24/05/2017

New Straits Times (News: m/s 8) – Kerajaan menepis dakwaan pengkritik negara dengan pelaksanaan Program Transformasi Nega­ra (NTP) sejak lapan tahun lalu yang berjaya mencetuskan momentum meletakkan Malaysia pada landasan ekonomi sihat dan betul. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, langkah tersebut seperti pemansuhan subsidi minyak, pengurangan kebergantungan kepada hasil minyak, rasionalisasi subsidi dan juga memperkenalkan cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah memberi banyak pulangan kepada rakyat dan negara. NTP telah memungkinkan asas ekonomi Malaysia terus kekal teguh dengan 5.6% pada suku pertama tahun 2017, manakala Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) merekodkan kejayaan cemerlang apabila mencapai 101%. Selain itu, jumlah pelaburan asing turut meningkat kepada RM41 bilion pada tahun lalu, serta potensi sehingga RM144 bilion yang bakal dibawa masuk China.

18/05/2017

Berita Harian (Pengiktirafan: m/s 18) – Seramai 1,070 orang warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada 79 Jabatan, Agensi dan Bahagian dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan yang menunjukkan prestasi dan komitmen kerja yang tinggi sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawab. Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, APC adalah satu pengiktirafan yang dapat mewujudkan persaingan sihat dalam membuktikan keupayaan diri masing-masing dan secara tidak langsung memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik. Adalah menjadi harapan kerajaan agar warga yang dipilih menghargai pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan untuk terus mendukung dengan gigih usaha kerajaan membawa perubahan positif dalam perkhidmatan awam.

17/05/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 4) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lawatan kerja beliau ke China selama lima hari telah mencapai keberhasilan yang sangat menggalakkan berdasarkan empat kejayaan utama. Kejayaan tersebut ialah sembilan perjanjian persefahaman (MoU) dalam pelbagai sektor, peningkatan hubungan dua hala dengan China di mana Malaysia anta­ra negara yang pertama menyokong inisiatif One Belt, One Road serta perkemba­ngan Digital Free Trade  yang membolehkan Malaysia menjadi hab ekonomi digital di rantau Asia Tenggara dengan anggaran pertumbuhan dua angka. Kejayaan terakhir pula melibatkan kesediaan Malaysia untuk memulakan rundingan mengenai Malaysia – Sri Lanka Free Trade Agreement.

Pages