JPM iktiraf 1,891 kakitangan cemerlang

Tarikh : 
27/04/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 23) – Sebanyak 1,891 kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada 70 jabatan, agensi dan bahagian menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2015. Daripada jumlah tersebut, seramai enam orang kakitangan adalah daripada golongan orang kurang upaya (OKU) turut menerima anugerah tersebut. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, dalam menentukan kecemerlangan, aspek integriti perlu diberi tumpuan utama selain penilaian terhadap pencapaian sasaran perkhidmatan yang ditetapkan. Menurutnya, penganugerahan yang diberi telah menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan diyakini rakyat serta menepati kehendak kumpulan sasaran. Sebagai jentera kerajaan yang berperanan melaksanakan segala dasar dan keputusan kerajaan, pegawai awam mesti memberi tumpuan ke arah penyampaian perkhidmatan efektif, efisien, telus, mengutamakan rakyat dan mencapai matlamat yang ditetapkan, katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Jabatan Perdana Menteri semalam. Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, JPM, Datuk Seri Othman Mahmood.

Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh warga JPM telah membolehkan jabatan ini menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuk Pencapaian Lima Bintang dalam Pengiktirafan Bintang Agensi Sektor Awam (kategori kementerian) tahun 2015-2016 dan Pencapaian Empat Bintang dalam Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Tahun 2014.

Lampiran Imej: