Keratan Akhbar

01/04/2016

New Straits Times (Prime News: m/s 2) –  Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Pusat Permata Kurnia berkata penyediaan pendidikan awal yang sempurna untuk kanak-kanak autisme mampu mengurangkan kos rawatan sepanjang hayat, selain berupaya mencungkil kebolehan dan keupayaan tersendiri yang dimiliki kanak-kanak tersebut.  Menurutnya, usaha kerajaan menyediakan Pusat Permata Kurnia dengan kokurikulum dan pendekatan pengajaran terbaik, mampu mengurangkan kos rawatan, serta sebagai pelaburan untuk pembangunan rakyat dan demi kepentingan jangka masa panjang negara. 
Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai pencalonan Program Permata untuk Anugerah 3G (Global Good Governance) Children Welfare Award anjuran Cambridge If Analytical UK sebagai pengiktirafan di atas sumbangan besar kearah pembangunan holistik kanak-kanak. Turut hadir di majlis perasmian pusat yang boleh menempatkan sehingga 300 kanak-kanak autisme itu ialah Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

31/03/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 8) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Raime Unggi (BN – Tenom) berkata status keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) secara umumnya adalah selamat dan berada dalam keadaan terkawal ketika ini.  Menurutnya, semua agensi keselamatan terlibat iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia dan pihak berkuasa awam sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan ancaman walaupun sering menerima maklumat tentang cubaan penculikan. Pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) juga sentiasa bertekad untuk menyifarkan sebarang bentuk pencerobohan dan penculikan daripada berlaku, namun ancaman seperti ‘kidnap for ransom’ masih boleh berlaku sekiranya kurang berwaspada.

30/03/2016

Berita Harian (Nasional: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata mesyuarat dua hala Malaysia- Maldives semalam mencapai permuafakatan bagi menambah baik hubungan dagangan sedia ada, terutama dalam sektor pendidikan, pembangunan, petroleum, pelaburan dan pelancongan. Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan lanjutan tempoh visa sehingga 90 hari bagi warga Maldives yang berkunjung ke negara ini, selaras dengan hasrat untuk menarik lebih ramai pelajar dari Maldives yang merupakan kumpulan pelajar asing ke 10 terbesar di Malaysia, melanjutkan pengajian di sini. Perdana Menteri dalam pertemuannya dengan Presiden Maldives, Abdullah Yameen Abdul Gayoom di Putrajaya berkata Maldives juga mempelawa syarikat termpatan melabur di negara itu, selain berminat menghidupkan semula kontrak bagi membeli produk hiliran petroleum daripada Petronas.

29/03/2016

New Straits Times (Prime News: m/s 2) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan pembukaan hab kajian Kumpulan Bank Dunia (WBG) di Kuala Lumpur berkata keputusan WBG itu adalah bukti bahawa Malaysia telah mengecapi pembangunan ekonomi yang pesat sejak 1958 sehingga menjadi lokasi pilihan kepada organisasi antarabangsa untuk menjalankan perniagaan. Menurut Perdana Menteri, kerajaan akan meneruskan kerjasama rapat dengan WBG dalam menjayakan misi berkembar iaitu membasmi kemiskinan tegar dan menggalakkan kemakmuran ekonomi di rantau ini dan di peringkat global. Walaupun Malaysia berdepan dengan pelbagai cabaran terutama selepas kejatuhan nilai ringgit dan harga komoditi utama, ekonomi negara tetap mendapat pengiktirafan WBG yang telah memulakan operasi pada September lalu.

26/03/2016

New Straits Times (Prime News: m/s 2) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak meninjau kemajuan pakej kerja-kerja pembinaan jalan raya antara bandar Kapit yang terletak di tengah pedalaman Sarawak, dengan Kanowit sepanjang 102 kilometer. Beliau berkata jumlah keseluruhan kos kerja pembinaan yang menjangkau sehingga RM800 juta itu menunjukkan betapa kerajaan komited untuk membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak dengan cara menyediakan akses ke kawasan berkenaan dengan dunia luar. Ia termasuk beberapa laluan yang merupakan 'rangkaian jalan yang terputus' serta 'jalan pintasan' yang sudahpun dikenal pasti akan dilaksanakan tidak lama lagi dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh kira-kira dua tahun setengah.

25/03/2016

Berita Harian (Nasional: m/s B3) –  Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi satu kenyataan berkata akan memperluaskan program ‘Kenali Portal MalaysiaBiz’ ke Johor dan Selangor bagi meningkatkan kesedaran komuniti perniagaan mengenai kemudahan tersebut.  Menurutnya, portal MalaysiaBiz disediakan untuk memudahkan pendaftaran dan pelesenan perniagaan di negara, selain sebahagian daripada perancangan kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi (HIP) yang dilaksanakan menerusi Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020.

24/03/2016

Utusan Malaysia (Album: m/s 2) – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika berucap di Majlis Resepsi pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 berkata PABM membuktikan keupayaan Bahasa Melayu untuk berkembang subur ke peringkat global. PABM yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menurutnya, juga memberi petunjuk yang jelas bahawa bahasa Melayu bukanlah bahasa yang boleh diperkecilkan peranan dan pengaruhnya. Sehingga kini, terdapat 129 buah pusat pengajian tinggi yang menawarkan kursus pengajian Bahasa Melayu merangkumi 40 buah negara dari Amerika Syarikat merentasi kesemua tujuh benua hingga ke New Zealand. Namun, kegemilangan Bahasa Melayu hanya sekadar menjadi sejarah walaupun kini lebih daripada 300 juta penutur bahasa tersebut di seluruh dunia.

23/03/2016

Utusan Malaysia (Dalam negeri : m/s 13) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika menjawab pertanyaan Ir. Shaharuddin Ismail (BN-Kangar) di Dewan Rakyat berkata, sebanyak 2,114 permohonan Skim Rumah Pertamaku dengan jumlah pinjaman RM431 juta telah diluluskan sejak 2013 hingga Januari lalu. Menurutnya, kerajaan akan terus membina rumah mampu milik terutama kepada golongan belia meskipun negara menerima kesan daripada keadaan ekonomi global yang tidak menentu. Kerajaan juga menurut Perdana Menteri telah mengambil pelbagai langkah memperbanyakkan bilangan rumah mampu milik, antaranya ialah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) serta rumah mesra rakyat melalui pelbagai agensi seperti porjek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

22/03/2016

Berita Harian (Nasional: m/s 18) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika berucap di majlis pengumuman pelaburan baharu China Railway Group Limited (CREC) berkata keputusan CREC, sebuah syarikat Fortune 500 membuka pusat serantau di Malaysia membuktikan keyakinan terhadap ekonomi negara, selain menjadi pemacu utama kepada ekonomi Malaysia dan mercu tanda pencapaian negara dalam usaha membangunkan Kuala Lumpur.  Menurut Perdana Menteri, kerjasama tersebut sekali gus mengukuhkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin antara Malaysia dan China sejak sekian lama.

21/03/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) –  Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Majlis Himpunan 20,000 Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini terus subur dan diperkasakan.  Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut menyediakan ruang yang seluas-luasnya kepada madrasah-madrasah tahfiz yang ada di negara ini untuk memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan dasar itu, dan beliau sendiri akan memberikan perhatian secara peribadi kepada pembentukan dan pelaksanaan DPTN tersebut.
Perdana Menteri turut merasmikan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) yang disifatkan penubuhannya amat tepat pada masanya untuk madrasah dan maahad tahfiz disatukan dan disusun saf mereka sehingga pelbagai program dan aktiviti yang mampu memperkasakan kebajikan dan pendidikan institusi itu dapat dilaksanakan dengan lebih rapi dan menyeluruh.  Kerajaan juga menurut Perdana Menteri bersetuju memberi sumbangan dana RM10,000 bagi setiap Pinta di peringkat negeri.

Pages