Keratan Akhbar

16/05/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, China kini membuka peluang yang luas kepada ahli perniagaan Malaysia yang mahu menjalinkan kerjasama ekonomi. Hubungan saling mempercayai antara kedua-dua negara kini berada pada tahap yang paling menarik dengan ahli perniagaan Malaysia lebih mudah untuk menjalin kerjasama ekonomi berbanding sebelumnya. Sepanjang menghadiri Belt and Road Forum (BRF), kata beliau, sembilan memorandum persefahaman (MoU) berjumlah AS$7.22 bilion telah berjaya dimeterai tetapi perjanjian yang dicapai sebenarnya lebih banyak kerana ia dilakukan di kalangan ahli perniagaan Malaysia.

Sementara itu, China bersetuju untuk meningkatkan pembelian minyak sawit dari Malaysia. Perdana Menteri berkata, beliau telah membuat permohonan itu kepada China sewaktu lawatannya ke negara itu pada November tahun lalu. Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad, China merupakan pasaran minyak sawit mentah ketiga terbesar bagi Kumpulan FGV dengan eksport sebanyak 308,040 tan metrik pada tahun lalu. Beliau juga percaya FGV dan Sinograin akan dapat memenuhi keperluan masing-masing bagi keuntungan bersama.

11/05/2017
Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menjangkakan pelaburan swasta ke wiliayah itu mencecah RM110 bilion tahun ini, jauh lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan pada 2020, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jebasingam Issace John. Ini mampu dicapai hasil pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi, menaiktaraf aspek kesalinghubungan, memanfaatkan sumber sedia ada dan disokong oleh barisan tenaga mahir yang terbukti menjadi pemangkin dalam usaha menarik pelaburan domestik dan asing. Agenda transformasi sosioekonomi kerajaan bagi ECER yang dilaksanakan menerusi ECERDC turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila meraih Anugerah Tadbir Urus Global Terbaik bagi Program Transformasi Ekonomi 2017 di Dubai, baru-baru ini.

09/05/2017

The Star (Nation: m/s 2) – Dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negara menjelang 2020, Blueprint Produktiviti Malaysia menetapkan pertumbuhan minimum produkti­viti pekerja pada kadar 3.7% setiap tahun. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, pelan ber­kenaan turut menggariskan lima teras strategik, 10 inisiatif nasional, 43 inisiatif sektor dan 16 tindakan. Kerajaan komi­ted menggandakan produktiviti negara menerusi pelan tersebut yang perencanaannya telah di­umumkan semasa pembentangan RMK-11 dua tahun lalu. Kejaan turut memutuskan untuk memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat tempatan dan multinasional yang mencapai pertumbuhan produktiviti tinggi dan memaksimumkan penggunaan pekerja tempatan.

08/05/2017
Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 4) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengecualian dasar kabotaj kepada Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Jun depan. Dengan pengecualian dasar kabotaj itu, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak lagi terikat dengan dasar yang dikenakan ke atas semua aktiviti perkhidmatan perkapalan kargo antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

05/05/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berharap pembangunan metropolis bertaraf dunia, Malaysia Vision Valley (MVV) bakal lebih memakmurkan negara dan menyejahterakan rakyat. Pembangunan kawasan seluas 153,000 hektar di Negeri Sembilan merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson itu dijangka mampu menarik pelaburan lebih RM290 bilion serta mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan. Antara yang menjadi tumpuan adalah penyediaan perumahan mampu milik bagi rakyat dengan kemudahan perbandaran terancang serta hab pengangkutan awam bersepadu yang komprehensif dan mesra pengguna. Pembangunan MVV dalam tempoh kira-kira 30 tahun itu akan melibatkan lapan projek utama yang dikenali ‘heartbeat projects’ seperti High Tech Park and Industrial Campus, Integrated Transport District, Sports and Recreational City, World Knowledge City, Biopolis and Wellness City dan Tourism District.

30/04/2017

Berita Harian (Perumahan: m/s 15) – Pembangunan semula Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan Cochrane membuktikan kerajaan sentiasa peka terhadap rakyat khususnya penjawat awam. Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, 896 unit kuarters berjaya disiapkan bagi kemudahan Kumpulan Pelaksana yang bertugas di sekitar Kuala Lumpur. Penghuni kuarters Jalan Cochrane adalah ‘penghuni sulung’ pertama mendiami unit kuarters itu dan menggunakan kemudahan yang disediakan. Penyediaan kuarters adalah sebagai satu mekanisma sementara bagi membantu penjawat awam mengurangkan kos sara hidup, manakala penyelesaian jangka panjang adalah dengan membantu memiliki rumah sendiri melalui program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan sebagainya.  

26/04/2017

New Straits Times (Govt & Policy: m/s 4) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan RM80 juta kepada sekolah-sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta institusi-institusi tahfiz berdaftar di seluruh negara merupakan komitmen kerajaan untuk menegakkan agama Islam dan memajukan ummah. Sebagaimana ditetapkan dalam Bajet 2017, peruntukan berkenaan merangkumi RM50 juta untuk tujuan penambahbaikan dan penyenggaraan sekolah pondok serta SMAR selain RM30 juta bagi penyelarasan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Beliau turut menyampaikan peruntukan berjumlah RM76.4 juta meliputi 819 sekolah pondok berdaftar, SMAR dan institusi tahfiz semasa majlis penyerahan replika cek kepada wakil-wakil ne­geri penerima peruntukan tersebut di Seri Perdana, semalam.

21/04/2017

New Straits Times (Govt & Policy: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang disifatkannya bukan sahaja berjaya meningkatan taraf ekonomi Bumiputera, malah telah menebus maruah negara sejak penubuhannya pada 1981. PNB dilihat sebagai sebuah institusi dan instrumen bagi mencapai objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum melangkah setapak demi setapak melakar pelbagai kejayaan. Usaha yang dilakukan oleh PNB bukan sahaja membolehkan pengagihan bonus atau dividen kepada rakyat tetapi membawa limpahan ekonomi ke seluruh negara. Kejayaan yang dicapai PNB telah membuka minda bahawa pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi negara boleh dilakukan demi kesejahteraan rakyat.

20/04/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak melancarkan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0 yang tidak lagi tertumpu kepada sudut ekonomi semata-mata seperti sebelum ini, sebaliknya lebih menyeluruh merangkumi segenap aspek ke­sejahteraan hidup termasuk pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya serta persekitaran selesa dan dinamik. Inisiatif yang dinamakan Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) itu diasaskan kepada lima teras bagi melahirkan komuniti dan usahawan bumiputera lebih berfokus, berdaya maju, kreatif serta inovatif dan bersedia untuk bersaing di peringkat global. Kelima-lima teras tersebut ialah melon­jakkan skala bumiputera; memperkasakan modal insan bumiputera, meningkatkan daya saing bumiputera, mendaya mobiliti sosial bumiputera serta TKB secara tuntas dan holistik.

19/04/2017

Berita Harian (Bisnes: m/s B5) – Iskandar Malaysia dijangka meneruskan pertumbuhan kukuhnya tahun ini apabila merekodkan pelaburan komited berjumlah RM5.27 bilion bagi suku pertama 2017. Menurut Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, ia menjadikan pelaburan komited terkumpul koridor pembangunan Johor itu RM227.67 bilion sejak 2006. Melalui fasa ketiga ini, sistem pengangkutan awam akan dipertingkatkan serta penyediaan perkhidmatan yang lebih cekap infrastruktur komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) pintar bagi menarik lebih ramai populasi dan pengunjung bekerja serta tinggal di wilayah itu.

Pages