Keratan Akhbar

17/04/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berjanji akan membawa perubahan lebih besar bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara tanpa menghiraukan kerenah pembangkang yang berterusan memburukkan kerajaan pimpinannya. Kerajaan akan terus memberi tum­puan dan bekerja keras bagi menjayakannya dan dalam masa yang sama, mahukan negara ini dihormati di peringkat dunia. Beliau yang hadir semasa Majlis Pecah Tanah Projek Pemuliharaan Muara Su­ngai Besut (Gerbang Pelancongan Antarabangsa) di Pekan Baru, Kuala Besut semalam berkata, transformasi yang ingin terus dibawa bukan perubahan kecil dan perlahan tetapi lebih pantas dan menyeluruh dalam segenap aspek dengan segala keperluan rakyat, pembangunan fizikal dan rohani, emosi, ilmu dan akal. Sejumlah RM1.15 bilion diperuntukkan kepada Negeri Terengganu untuk melaksanakan 34 projek terutamanya dalam menangani masalah banjir.

14/04/2017

The Sun (News Without Borders: m/s 2) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berpuas hati dengan kemajuan pembangunan bagi pembinaan pangkalan udara Sendayan meskipun berdepan dengan pelbagai tohmahan dan kecaman daripada pelbagai pihak. Najib meluangkan masa kira-kira sejam setengah bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan meninjau pembangunan pangkalan udara yang sudah hampir 80% siap itu, semalam. Pangkalan udara berkenaan dilengkapi dengan unit-unit kediaman yang boleh menempatkan keseluruhan 1,900 orang membabitkan anggota TUDM serta ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin berkata, beliau berharap kewujudan pangkalan itu berupaya memperkukuhkan semangat anggota TUDM untuk menjadikannya pasukan tentera udara disegani di rantau ini dan di peringkat antarabangsa. Beliau yang juga Menteri De­ngan Tugas-Tugas Khas di Ja­batan Perdana Menteri percaya pangkalan ini akan menyumbang kepada pembangunan lebih pesat di Sendayan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar sekali gus mewujudkan pembangunan seimbang dan tidak hanya tertumpu di bandar utama.

13/04/2017

New Straits Times (Govt & Policy: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan khas RM1 juta untuk menaik taraf Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi bagi menjadikannya pusat kecemerlangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang moden. Institusi itu adalah di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang memberikan perkhidmatan kepada OKU melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan. Peruntukan RM1 juta tersebut akan digunakan untuk membeli peralatan, mesin pemulihan dan rawatan bagi tujuan fisioterapi serta menaik taraf pusat hidroterapi PLPP itu.

12/04/2017

New Straits Times (Govt & Policy: m/s 6) – Pelaburan swasta berjumlah RM101.4 bilion berjaya diterima Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sehingga kini iaitu 92% daripada jumlah pelaburan RM110 bilion yang disasarkan menjelang tahun 2020. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John, pertumbuhan pesat yang dicapai oleh ECER sejak pelancarannya pada tahun 2007 juga berjaya menyaksikan lebih 140,000 peluang pekerjaan dihasilkan dan 24,000 usahawan berjaya dilahirkan. Program Empower ECER dan Entrepreneur ECER juga memberi manfaat kepada lebih 310,000 isi rumah daripada kalangan B40 dan orang asli dalam pembangunan modal insan dan pembasmian kemiskinan. Jebasingam berkata demikian selepas Mesyuarat ECERDC dan penyampaian anugerah kepada 19 usahawan dari Pahang, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

10/04/2017

The Star (Nation: m/s 16) – Seramai 2,000 kanak-kanak autisme termasuk keluarga mereka diraikan pada Program Blue Kids’ Fun Zone yang diadakan sempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun. Penaung Program PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata Program anjuran PERMATA Kurnia ini adalah salah satu inisiatif bagi menghargai kanak-kanak autisme bertujuan membantu dan memberi pendedahan kepada kanak-kanak autisme ini mengenali dunia luar, sekaligus membolehkan masyarakat lebih mengenali golongan ini bahawa mereka ini juga mampu menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

07/04/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 4) –  Peruntukan jumlah subsidi yang ditanggung Lembaga Tabung Haji (LTH) meningkat kepada RM260 juta tahun ini berikutan kuota Jemaah haji selain daripada kos. Timbalan Ketua Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani berkata, jumlah kuota haji meningkat kepada 30, 200 orang setelah dilulskan kerajaan Arab Saudi, menyebabkan jumlah susidi ditanggung LTH turut bertambah. Setiap Jemaah haji akan menerma subsidi berjumlah RM9,970 berbanding kos sebenar yang perlu dibayar iaitu RM19, 950 seorang.

06/04/2017

The Star (Nation: m/s 8) – Kerajaan akan terus menghantar pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK) menerusi Program Penajaan Nasional (PPN). Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K. Devamany yang menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa menyatakan, terdapat seramai 1, 651 pelajar Malaysia yang ditaja oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga Januari lalu. Terdapat lima saluran lain dalam JPA yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian timnggi (IPT) dalam dan luar negara. 

05/04/2017

Kosmo (Negara: m/s 4) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Sistem Pihak Berkuasa dan Badan Halal Antarabangsa Malaysia (MyIHAB), yang pertama seumpamanya di dunia. Ia adalah sistem permohonan pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Antarabangsa secara atas talian oleh badan pensijilan halal luar negara, dengan pengurusan dan pendaftaran bersepadu serta mempunyai pangkalan data berpusat di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Sistem berkenaan adalah titik permulaan bagi Malaysia ke arah mewujudkan Lembaga Akreditasi Halal Antarabangsa pada masa akan datang.

04/04/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 2) – Sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perniagaan berjumlah RM162.37 bilion dimeterai antara syarikat-syarikat Malaysia dan India. Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis bersama ketua-ketua industri Malaysia dan India di Hotel Taj Palace.

03/04/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa syarikat pembinaan jalan raya Malaysia kini membida projek jalan raya negeri di Rajasthan berjumlah lebih 3,000 kilometer. Beliau berharap bidaan tersebut akan dipertimbangkan dengan sewajarnya memandangkan pembida Malaysia menawarkan peluang untuk menambah nilai melalui penggunaan teknologi dan inovasi, melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran, pembiayaan yang baik, dan perkongsian kepakaran dan pengalaman. Perdana Menteri berkata demikian semasa Taklimat dan Perbincangan Mengenai Projek dan Peluang Pelaburan di Rajasthan, yang diadakan di Taj Rambagh, India. Sementara itu, beliau berkata, kerajaan telah melantik Datuk Seri Zohari Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, sebagai pegawai nod untuk memudahkan semua perkara yang berkaitan dengan penyertaan Malaysia dalam projek-projek pembangunan di India.

Pages