Keratan Akhbar

31/03/2017

New Straits Times (Govt & Policy: m/s 8) – Lawatan rasmi enam hari, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ke India yang bermula semalam dijang­ka mengukuhkan lagi hu­bungan dua hala Malaysia-India yang sudah terjalin sejak 60 tahun lalu. Lawatan itu memberi peluang kepada kedua-dua negara berbincang pelbagai isu kerjasama dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Antaranya ialah isu perdagangan dan pelaburan, projek infrastruktur, kerjasama pertahanan, pe­ngurusan pengangkutan udara, kerjasama pelancongan dan kebudayaan. Lawatan rasmi tersebut adalah atas jemputan Perdana Menteri India, Narendra Modi dan merupakan kali ketiga sejak dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009. Selain Chennai, Perdana Menteri akan turut mengadakan lawatan ke New Delhi dan Jaipur.  

28/03/2017
Berita Harian (Muka Dua: m/s2) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) merupakan usaha kerajaan untuk membantu pemilikan aset dalam kalangan penjawat awam. Semua penjawat awam sewajarnya dapat menduduki kediaman yang selesa dan aman serta mengecapi penambahan nilai harta atau aset yang dijadikan simpanan sepanjang usia mereka sebagai penjawat awam. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Pembangunan PPA1M Larai, Presint 6, Putrajaya. Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

27/03/2017
Berita Harian (Sukan: m/s 86) –  Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui catatan di laman Twitternya mengucapkan tahniah kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang disahkan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Najib menyuarakan keyakinan bahawa TMJ mampu mengembalikan zaman kegemilangan Harimau Malaysia sepertimana yang pernah dilalui suatu ketika dahulu.  Tunku Ismail diumumkan memenangi jawatan Presiden FAM tanpa bertanding bagi penggal 2017-2021 sempena Kongres FAM ke-53, Sabtu lalu. 

24/03/2017
Berita Harian (Persidangan: m/s 18) – Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menegaskan inisiatifnya membangunkan program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) adalah semata-mata demi kepentingan dan kebajikan pendidikan kanak-kanak di negara ini. Pelbagai usaha dan tindakan diambil demi menjayakan program berkenaan sehingga ada pihak mendakwa beliau cuba bersaing dengan suaminya, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Bersempena dengan majlis makan malam penghargaan dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Persatuan Usahawan Wanita Cina Malaysia (MCWEA) 2017 di Wisma Hua Zong, Kuala Lumpur semalam, beliau turut dianugerahkan dengan Anugerah Wirawati Negara - Pembela Kanak-Kanak Malaysia 2017. 

23/03/2017
Berita Harian (Muka Dua: m/s 2) –  Program Transformasi Nasional (NTP) berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta pekerjaan yang merangkumi le­bih sejuta pekerjaan berpendapat­an tinggi sepanjang tempoh 2010 sehingga tahun lalu. NTP turut membantu Pendapatan Negara Kasar (GNI) Malaysia meningkat hampir 50%, malah Malaysia hampir mencapai matlamat membasmi kemiskinan dengan menurunkan kadarnya kepada 0.6%. Menurut Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, melalui NTP, tiada rakyat Malaysia yang tercicir kerana keperluan semua orang dipenuhi dan semua komuniti berupaya menyumbang serta berkongsi kekayaan negara ini. Malaysia berada pada landasan kukuh untuk menjadi negara berpendapatan tinggi di mana telah berjaya membendung inflasi dan pengangguran sehingga diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, kata beliau yang merasmikan Forum Transformasi Global (GTF) di KLCC, semalam.

22/03/2017
Berita Harian (LIMA 2017: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak, hadir menyempurnakan majlis penamaan kapal peronda terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diterima daripada kerajaan Jepun dengan nama KM Pekan di Jeti Tanjung Malai, semalam. Kapal jenis JCG PL 02 ERIMO yang diterima daripada Jepun itu tiba di Malaysia pada 14 Mac lalu selepas belayar dari negara tersebut  sejak 10 hari yang lalu. Ketua Pengarah APMM, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab. Kahar, berkata KM Pekan dan sebuah lagi OPV dihadiahkan oleh Jepun awal bulan depan membuktikan hubungan baik dan erat di antara kedua-dua negara.

21/03/2017
Berita Harian (LIMA: m/s 7) – Kerajaan berhasrat mengimbangi jumlah penyertaan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dengan memastikan ia tidak hanya menumpu kepada sektor pertahanan semata-mata. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata sebaliknya penganjuran LIMA untuk edisi akan datang dipastikan seimbang dari segi pertahanan dan komersil. Turut hadir di majlis bersama media ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Panglima Angkatan tentera, Tan Sri Raja Mohamed Noor dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar. LIMA kali ini menyaksikan penganjuran forum dan persidangan membabitkan Menteri Pertahanan dan wakil dari beberapa negara ASEAN.

20/03/2017
Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 5) –  Terengganu terus memacu transformasi sosioekonomi dengan mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan pilihan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan meraih pelaburan domestik dan asing bernilai RM29.4 bilion sehingga tahun lalu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Seri Jebasingam Issace John. Pertumbuhan pesat dalam sektor pembuatan menyumbang 51.3% daripada keseluruhan pe­laburan, diikuti bioekonomi sebanyak 22.6%. Perkembangan se­pan­jang hampir sedekad itu sekali gus mewujudkan lebih da­ri­pada 30,000 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat. Selain itu, sehingga kini seramai 11,355 rakyat negeri ini dengan 93% adalah daripada kumpulan B40 telah menerima manfaat daripada program seperti empower ECER, enterpreneur ECER, Agropolitan dan Teras sekali gus mewujudkan 3,389 usahawan.

17/03/2017
Berita Harian (Dasar & Pentadbiran: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam melancarkan ‘Kit Wasatiyyah’ bagi mempromosikan pendekatan sederhana agama dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Kit itu adalah bahan promosi utama untuk merakyatkan pendekatan wasatiyyah dalam kalangan rakyat negara ini yang mengandungi lima buku iaitu buku Dasar Wasatiyyah Negara, Pendekatan Wasatiyyah dan Pelaksanaannya di Malaysia iaitu koleksi enam ucapan eksklusif Perdana Menteri berkaitan konsep berkenaan dan Pendekatan Wasatiyyah: Definasi, Konsep dan Pelaksanaan hasil tulisan Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia, Tan Sri Dr. Abdullah Md. Zin. Sementara buku lainnya ialah Pendekatan Wasatiyyah dalam Menangani Keganasan Pengalaman Malaysia dan Penghayatan Wasatiyyah dalam Pentadbiran Malaysia. Sementara itu, Perdana Menteri turut berkata, Malaysia akan mengadakan rundingan rasmi dengan Korea Utara mengenai konflik diplomatik termasuk usaha membawa keluar rakyat kita yang berada di negara berkenaan, apabila sampai masanya. Manakala, rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat.

16/03/2017
Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 2) –  Menerusi laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengucapkan terima kasih kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan kerajaan baginda kerana menambah kuota haji Malaysia kepada 30,200 jemaah. Perdana Menteri berharap dengan pengumuman tersebut lebih ramai Jemaah haji dari negara ini dapat menunaikan ibadah tersebut pada tahun-tahun mendatang. 

Pages