Keratan Akhbar

15/03/2017
New Straits Times (News: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan Malaysia sebagai hab Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) yang pertama di Asia Pasifik membuktikan usaha kepimpinan negara ini dalam membangunkan pasaran modal berkualiti diiktiraf di peringkat global. Penubuhan hab IOSCO bagi Asia Pasifik di Malaysia adalah tepat pada waktunya kerana rantau ini merupakan pemain utama dalam pasaran global ketika ini. Peranan IOSCO adalah untuk mewujudkan kerjasama erat merentasi sempadan dan kepakaran dalam kalangan rakan pengawal selia domestik serta antarabangsa bagi membangunkan pasaran modal Asia Pasifik dan kapasitinya.

14/03/2017

New Straits Times (News: m/s 6) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menegaskan, Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang merupakan undang-undang baharu khusus bagi menangani jenayah seksual dalam kalangan kanak-kanak bakal dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini dan mencerminkan komitmen kerajaan dalam memerangi jenayah seksual kanak-kanak. Rang undang-undang bagi menangani jenayah seksual kanak-kanak secara berkesan, komprehensif dan holistik itu akan dibentangkan terlebih dahulu kepada Kabinet dalam masa terdekat sebelum dibawa ke sidang Parlimen untuk diluluskan. Rang Undang-Undang ini dianggap sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira ideologi dan kefahaman politik kepartian. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak: Hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

13/03/2017

New Straits Times (News: m/s 2) – Kerajaan Persekutuan hari ini tidak ‘mendera’ negeri Kelantan walaupun negeri tersebut bukan dibawah pimpinan Kerajaan Persekutuan. Buktinya, Kelantan menerima peruntukan yang tinggi sehingga mencecah RM12.11 bilion dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Peruntukan tersebut diterjemahkan menerusi deretan projek baharu. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menggunakan pendekatan berbeza dalam mentadbir negara dengan seadil mungkin dan membela nasib rakyat sebaik mungkin tanpa meminggirkan atau membeza-bezakan mana-mana negeri. 

09/03/2017

New Straits Times (Nation: m/s 24) – 15 buah rumah kebajikan di sekitar Lembah Klang menerima RM75,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertua, Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), Datin Seri Rosmah Mansor, sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.  Acara tersebut dianjurkan oleh BAKTI dan YTL Corporation Bhd yang dihadiri oleh 500 tetamu dan penduduk di rumah-rumah kebajikan.

07/03/2017

New Straits Times (Business: m/s B4) – Syarikat bumiputera di Sa­bah digesa merebut geran bantuan program mudah cara sebanyak RM45 juta yang disediakan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Pengarah Kanan Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan Teraju, Megat Mohd. Yatim berkata, inisiatif dana mudah cara itu adalah bagi membantu syarikat bumiputera di Sabah mengembangkan perniagaan se­kali gus memberi kesan kepada rakyat. Program dana mudah cara itu merupakan inisiatif TERAJU dalam memberikan pembayaran balik kepada syarikat-syarikat bumiputera seba­nyak 15 peratus daripada jumlah kos sebenar antara RM500,000 ke RM2.5 juta.

06/03/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 7) – Warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dijangka akan mendapat lebih banyak peluang untuk menunaikan ibadah haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Perkara itu mampu dicapai jika Kerajaan Arab Saudi meluluskan permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah pada satu-satu musim. Ia susulan lawatan rasmi Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Malaysia yang memberi respons positif terhadap permintaan Malaysia untuk menambah kuota haji sehingga 30,000 jemaah.

03/03/2017

Berita Harian (Prihatin: m/s 17) – Sempena Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) ke-35, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penaungnya berkata, PUSPANITA adalah satu-satunya persatuan yang mempunyai ahli daripada pelbagai latar belakang, kaum dan agama di seluruh pelusuk negara yang berperanan sebagai agen keharmonian dan perpaduan. Sementara itu, Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Seri Rohani Abdullah memaklumkan sepanjang 2016, PUSPANITA berjaya menganjurkan program berasaskan Pelan Tindakan Strategik PUSPANITA dengan pendekatan rasmi 3K, iaitu Keilmuan, Keusahawanan, dan Kebajikan. Kesemua program berjaya dilaksanakan melalui kolaborasi strategik dengan agensi kerajaan, selari dengan peranan PUSPANITA sebagai Rakan Penjawat Awam. Bagi tahun 2017, PUSPANITA mensasarkan untuk mengadakan program inklusif sukan kepada ahli dan keluarga ahli PUSPANITA selari dengan dasar Transformasi Negara (TN50), dalam usaha merakyatkan PUSPANITA.

02/03/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein hadir me­nyaksikan keberangkatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Indonesia dengan menaiki pesawat khas pada pukul 11.45 pagi setelah menamatkan lawatan empat hari ke Malaysia bermula 26 Februari lalu. Lawatan sulung Raja Salman ke Malaysia telah mencipta era baharu dalam hubungan dua hala antara negara, sekali gus membuktikan kerjasama erat yang terjalin selama ini. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, hubungan yang bersandarkan kepercayaan dan keyakinan boleh dilihat dengan termeterainya beberapa perjanjian penting antara Malaysia dengan Arab Saudi dalam lawatan itu.

01/03/2017

Harian Metro (Setempat: m/s 21) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menerusi posting terbaharunya di laman Facebook rasmi beliau memaklumkan bahawa Malaysia kini sedang berada di kedudukan tangga ke – 23 dalam Indeks Ekonomi Paling Inovatif 2017 Bloomberg. Ini adalah satu pencapaian membanggakan kerana mendahului banyak negara maju dan terus meningkat berbanding tahun sebelumnya. Dengan percapaian ini maka satu lagi bukti dasar dan pelan ekonomi yang kerajaan Barisan Nasional laksanakan adalah tepat dan membuahkan hasil.

28/02/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menyifatkan kerjasama dua hala Arab Saudi – Malaysia kini berada pada tahap yang tertinggi sejak hubungan diplomatik terjalin antara kedua-dua negara ini. Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, berkata baginda yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci berkongsi perkara tersebut dalam perbincangan bersamanya dan beliau cukup berbangga dengan penghormatan tersebut. Raja Salman yang dalam rangka lawatan selama empat hari di Malaysia hari ini adalah untuk mesyuarat dua hala Malaysia-Arab Saudi, mesyuarat delegasi, majlis pemeterian empat memorandum persefahaman (MoU) serta majlis santapan tengah hari rasmi dan dimana Arab Saudi dan Malaysia juga akan memperkukuhkan kerjasama dalam bidang ketenteraan meliputi aspek keselamatan dan pertahanan.

Semalam Malaysia dan Arab Saudi telah menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama ekonomi, saintifik dan pendidikan, tanaga kerja sumber manusia serta pertukaran berita. Najib berkata, MoU yang ditandatangani itu diharap dapat membuka peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia untuk melaksanakan lebih banyak projek di Arab Saudi terutamanya dari segi pelaburan serta perdagangan. Selain daripada itu, Syarikat petroleum Arab Saudi, ARAMCO juga akan melabur RM31 bilion (AS$7 bilion) dalam projek kilang penapis minyak milik PETRONAS di Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor. Najib menyifatkan projek berkenaan sebagai pelaburan tunggal terbesar yang sangat penting memperkukuhkan nilai ringgit serta menambah peluang perkerjaan dan meningkatkan keyakinan ekonomi terhadap ekonomi negara. Lantas itu kedua-dua syarikat minyak gergasi itu akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi pelaburan berkenaan pada hari ini.

Pages