Keratan Akhbar

07/02/2017
Berita Harian (Muka Dua: m/s 2) – Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak semasa Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri menyatakan kerajaan perlu memperkukuhkan kekuatan dalamannya bagi menghadapi pelbagai cabaran tidak menentu. Ia boleh dicapai dengan memberi penekanan kepada faktor asas iaitu penyampaian dan pelaksanaan projek, program dan bantuan kepada rakyat. Najib turut berkata, kementerian dan agensi kerajaan perlu meruntuhkan kerja secara silo dengan mengelakkan sikap terlalu ‘territorial’. Penjawat awam disaran memberikan komitmen yang tinggi bagi meningkatkan keberhasilan dari segi produktiviti, inovasi dan kreativiti.

06/02/2017
New Straits Times (News: m/s 7) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia perlu mengambil mekanisme tertentu bagi meningkatkan semula nilai dagangan dengan Qatar yang merosot ekoran penyusutan harga minyak global. Namun begitu, aspek dagangan lain boleh dipertingkatkan seperti keperluan untuk syarikat Malaysia menjadi pembekal barangan dan dagangan untuk Piala Dunia 2022 apabila Qatar menjadi tuan rumah sukan itu nanti. Sementara itu, kerajaan juga bersetuju memperluaskan kemudahan pengecualian visa untuk warga India yang tinggal di luar negara itu jika mereka mahu datang melancong ke Malaysia. Menurut Zahid, langkah itu bertujuan menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Malaysia sekali gus membantu ekonomi menerusi pertukaran mata wang asing.

03/02/2017
New Straits Times (News: m/s 4) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Projek Perintis Kebenaran Bekerja untuk Pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dari etnik Rohingya akan bermula secara rasmi pada 1 Mac ini. Menerusi projek perintis tersebut, sebanyak 300 orang pemegang kad UNHCR dari etnik Rohingya yang melepasi saringan keselamatan dan kesihatan akan diberi kebenaran bekerja di negara ini secara berperingkat. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu, Malaysia sentiasa mencari pendekatan terbaik berdasarkan sifat perikemanusiaan untuk menguruskan pemegang-pemegang kad UNHCR walaupun negara ini tidak menjadi ahli kepada Konvensyen PBB Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967.

27/01/2017

New Straits Times (News: m/s 8) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak menyokong pendekatan Pembangunan berteraskan Kesaksamaan Sosial yang dilaksanakan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam memastikan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat setempat. Beliau juga turut amat tertarik dengan inisiatif-inisiatif yang ditawarkan kepada warga NCER termasuk melalui program MySuria, Pusat Inovasi Komuniti (CIC) dan Program Latihan Pertanian Moden dengan menggunakan Fertigasi serta Model Pengurusan Estet (EMM) dalam penanaman padi.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata memang fokus wilayah ekonomi koridor ini diwujudkan adalah untuk keperluan masyarakat, malah pelaksanaan di peringkat akar umbi juga menjadikan rakyat sebagai fokus utamanya. Selain itu, sasaran yang ditetapkan untuk 2017 adalah NCER mencatatkan kumulatif pelaburan swasta sebanyak 87.3 bilion, 111,000 kumulatif peluang purata bulanan kumpulan B40 sebanyak RM2,100 sebulan.

27/01/2017

Berita Harian (Dasar & Pentadbiran: m/s 4) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia, Indonesia dan Filipina akan terus meningkatkan kerjasama bagi memburu dan membanteras aktiviti keganasan menerusi operasi bersepadu melibatkan pihak keselamatan ketiga-tiga negara. Ketiga-tiga negara ini sangat prihatin dengan isu keselamatan, terutamanya melibatkan kumpulan pengganas Daesh yang bukan sahaja menimbulkan kekacauan malah giat merekrut ahli-ahli baharu.

20/01/2017
Berita Harian (Muka Dua: m/s 2) – Bersempena Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melontarkan idea bagi menyediakan Malaysia yang lebih cemerlang dengan mengguna pakai kaedah aspirasi rakyat, terutama generasi muda. Usaha menuju 2050 perlu dirangka sekarang kerana dunia berubah dengan pantas, radikal dan sukar dijangka. Semasa sesi tersebut, pelbagai suara hati golongan muda dilontarkan selaras dengan tahun 2050 yang bakal diterajui generasi tersebut.

18/01/2017

New Straits Times (News: m/s 4) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berkata, perubahan dua dasar membabitkan had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah yang dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM15,000 serta memendekkan tempoh menjual dan menyewa moratorium kediaman dari 10 kepada lima tahun, membolehkan lebih ramai rakyat golongan pertengahan memiliki rumah menerusi program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Langkah itu dilakukan sebagai usaha kerajaan untuk membolehkan hasrat rakyat memiliki rumah dapat direalisasikan.

13/01/2017

New Straits Times (Prime News: m/s 8) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak berkata pasaran modal Malaysia terus menjadi sumber pengumpulan dana serta pelaburan yang memanfaatkan sebagaimana dibuktikan menerusi kejayaan meraih sejumlah RM978 bilion sejak sedekad lepas. Pasaran modal turut disokong oleh pengantara dan industri pengurusan dana yang luas dan dikawal selia oleh kerangka pengawalseliaan kondusif di bawah pengawasan Suruhanjaya Sekuriti (SC). Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata demikian dalam ucap tama di Forum Dana Pelaburan Antarabangsa 2017. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

12/01/2017

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 4) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah permohonan pelancong China untuk melawat Malaysia didapati bertambah sebanyak 74 peratus sejak Malaysia dan China melaksanakan Program Pengecualian Visa berkuat kuasa Mac tahun lalu. Peningkatan ini merupakan hasil lawatan kerja pertama beliau ke China sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Februari 2016.

11/01/2017

New Straits Times (Prime News: m/s 4) – Kejayaan Mohd. Faiz Subri mengharumkan nama negara dengan memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 membanggakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pemimpin tertinggi negara menyifatkan kejayaan itu bakal memberi inspirasi kepada semua pemain bola sepak Malaysia.

Pages