Keratan Akhbar

11/01/2017

Berita Harian (Muka Dua: m/s 2) – Lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke China dijangka akan berbincang dengan pihak berkuasa China bagi mengadakan lebih banyak kerjasama dalam menangani isu-isu keselamatan termasuk inisiatif antikeganasan Malaysia. Duta Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya, Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun malam ini sempena lawatan kerja selama enam hari ke negara itu.

06/05/2016

Berita Harian (Nasional: m/s 2) – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, seramai 2,000 penjawat awam kontrak akan diserap ke jawatan tetap setiap tahun bagi mengisi kekosongan di sektor awam. Menurutnya, langkah tersebut bagi mengimbangi sektor awam antara muka baharu dan kakitangan berpengalaman. Bagaimanapun, syaratnya ialah kakitangan awam kontrak itu perlu berkhidmat secara berterusan sekurang-kurangnya 15 tahun, selain menunjukkan prestasi kerja cemerlang serta mendapat sokongan ketua jabatan. Beliau berkata demikian di Majlis Anugerah Khidmat Cemerlang 2015 Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

05/05/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 3) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan kelulusan peruntukan RM20 juta yang akan disalurkan melalui dua peringkat iaitu masing-masing RM10 juta pada tahun ini dan tahun hadapan kepada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Peruntukan termasuk bagi pembelian pakaian seragam kepada 3.8 juta ahli RELA. Perdana Menteri juga turut mengumumkan pemberian tanah seluas 15.3 hektar di Sematan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk pembinaan pusat latihan RELA.

28/04/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 6) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Majlis Penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di Tapah berkata daya saing luar biasa Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dalam mempertahankan pencapaiannya di sebalik kekangan ekonomi harus dijadikan penanda aras kepada syarikat kerajaan yang lain.  Menurutnya, daya tahan dan daya juang PNB sepanjang 38 tahun ditubuhkan merupakan tonggak kejayaan syarikat itu bertahan dalam asakan luaran dan dalaman, di mana cabaran semasa termasuk nilai eksport negara, kadar pertukaran mata wang dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK).

27/04/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 23) – Sebanyak 1,891 kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) daripada 70 jabatan, agensi dan bahagian menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2015. Daripada jumlah tersebut, seramai enam orang kakitangan adalah daripada golongan orang kurang upaya (OKU) turut menerima anugerah tersebut. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, dalam menentukan kecemerlangan, aspek integriti perlu diberi tumpuan utama selain penilaian terhadap pencapaian sasaran perkhidmatan yang ditetapkan. Menurutnya, penganugerahan yang diberi telah menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan diyakini rakyat serta menepati kehendak kumpulan sasaran. Sebagai jentera kerajaan yang berperanan melaksanakan segala dasar dan keputusan kerajaan, pegawai awam mesti memberi tumpuan ke arah penyampaian perkhidmatan efektif, efisien, telus, mengutamakan rakyat dan mencapai matlamat yang ditetapkan, katanya dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Jabatan Perdana Menteri semalam. Teks ucapan beliau itu dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, JPM, Datuk Seri Othman Mahmood.

Kecemerlangan yang ditunjukkan oleh warga JPM telah membolehkan jabatan ini menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah termasuk Pencapaian Lima Bintang dalam Pengiktirafan Bintang Agensi Sektor Awam (kategori kementerian) tahun 2015-2016 dan Pencapaian Empat Bintang dalam Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan Tahun 2014.

25/04/2016

Utusan Malaysia (Dalam Negeri: m/s 4) – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata Lembaga Tabung Haji (TH) masih mengekalkan perkhidmatan yang sama termasuk memberikan subsidi kira-kira 45 peratus kepada bakal haji di negara ini biarpun kos pengurusan untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu meningkat pada setiap tahun. Menurutnya, kerajaan melalui TH juga telah menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada bakal haji tanpa melibatkan penambahan kos. Kosuntuk menunaikan haji di negara ini ialah RM9,980 berbanding negara-negara ASEAN lain yang mengenakan bayaran di antara RM15,512 hingga RM54,000 seorang.

22/04/2016

New Straits Time (Prime news: m/s 2) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 20 kementerian berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) 100 peratus bagi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) yang ditetapkan untuk tahun 2015. Menurutnya, sebanyak 93 KPI PEB ditetapkan tahun lalu bagi kesemua 25 kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri dalam memastikan agenda PEB sebagai agenda nasional yang dilaksanakan secara sistematik dan berkesan. Pelaksanaannya yang merentasi kementerian juga adalah selari dengan usaha kerajaan dalam membangunkan negara secara inklusif. Perdana Menteri berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara SME Corporation Malaysia (SME Corp) dengan MARA serta lapan persatuan dan dewan perniagaan bumiputera bagi menjayakan inisiatif Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB).

21/04/2016

Berita Harian (Bisnes: m/s B2) – Petronas Dagangan Bhd. (PDB), akan menumpukan langkah meningkatkan kecekapan operasi, pengurusan kos berhemah dan kepuasan pelanggan bagi memastikan ia kekal berdaya saing. Suasana pasaran yang mencabar dengan harga minyak dunia kekal rendah mendorong syarikat itu melaksanakan langkah rasionalisasi dan meningkatkan tahap kecekapan, termasuk berkaitan inventori serta depo gas petroleum cecair (LPG). Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunus berkata PDB juga akan memberi tumpuan kepada portfolio perniagaan runcit kerana masih banyak ruang untuk dipertingkatkan bagi memastikan kepuasan pelanggan menjadi keutamaan.

19/04/2016

Berita Harian (Nasional: m/s 2) –  Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak ketika berucap merasmikan Forum Putrajaya sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2016 berkata, kerjasama erat isu keselamatan dengan negara jiran penting bagi mengekang jenayah rentas sempadan. Menurutnya, rantau ini kini berdepan ancaman jenayah rentas sempadan, serta kewujudan pelbagai penjenayah siber yang berupaya melancarkan serangan melepasi kawalan keselamatan sesebuah negara dengan mudah, selain golongan ekstremis yang tidak menerima kedaulatan sesebuah negara dan bertindak menceroboh sehingga membawa kepada kehancuran dan kematian.

Pages