Penyampaian Sumbangan Kerusi Roda dan Bakul Makanan Kepada 10 Penerima E-Kasih
- : 487
SHAH ALAM, 20 Ogos 2022 - YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada pagi ini telah menyampaikan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility - CSR) kepada 10 penerima bantuan e-Kasih yang terdiri golongan asnaf di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam. Sumbangan adalah berupa lima buah kerusi roda dan lima bakul makanan yang diharap dapat membantu meringankan beban para penerima.
Sebelum itu, KSN telah meluangkan masa dalam Program Santai Bersama Penjawat Awam yang dikelolai oleh YB Dato' Haji Haris bin Kasim, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor.
Pelbagai aktiviti menarik berasaskan permainan tradisional turut diadakan; antaranya dam aji, karom, dart, belon panas, bola sepak kain pelikat, sepak raga dan congkak.
KSN sebelum itu juga telah melepaskan dan menyertai Kayuhan (Fun Ride) Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Selangor yang telah diadakan di Dataran Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam, dengan jarak sejauh 11.5 kilometer. Kayuhan di Negeri Selangor ini adalah merupakan kayuhan siri ke lapan selepas JAKM Negeri Sarawak yang lepas.
Acara ini turut disertai oleh SUK Negeri Selangor; YBhg. Dato' Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; YBhg. Dato' Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK) Jabatan Perdana Menteri (JPM); serta Pegawai-Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri.





