Penjawat Awam Perlu Menerapkan Budaya Intrapreneurship Dalam Organisasi Awam Supaya Kekal Relevan
- : 655
PUTRAJAYA, 30 Ogos 2022 – “Pemerkasaan budaya intrapreneurship dalam organisasi awam amat penting, bagi memastikan para penjawat awam kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan”, kata YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri dalam ucapannya sempena Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) yang bertemakan ‘Penjawat Awam Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Pada majlis ini juga, YAB Perdana Menteri turut melancarkan buku ‘Dasar-Dasar Negara (Jilid 3)’ dan ‘Keluarga Malaysia : Manfaat Untuk Rakyat’. Kedua-dua buku terbitan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) ini merupakan salah satu inisiatif menyebarluaskan dasar-dasar kerajaan serta meningkatkan kefahaman dan kesedaran rakyat mengenai konsep Keluarga Malaysia.
Hadir sama ialah ahli-ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian; Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
MAPPA XVIII anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan INTAN ini turut dihadiri lebih 5,000 penjawat awam secara fizikal dan 10,000 secara dalam talian menerusi siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM), facebook JPA dan INTAN.




