50,000 Keluarga Malaysia Meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2022
- : 894
KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2022 – Bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’, sambutan Hari Kebangsaan 2022 telah diraikan dengan penuh kemeriahan di Dataran Merdeka setelah dua tahun berlalu tanpa sambutan akibat pandemik COVID-19.
Buat julung kalinya juga #KeluargaMalaysia menyaksikan keberangkatan tiba KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menaiki Kereta Kuda Diraja dari Bank Negara ke Dataran Merdeka bagi bersama-sama menyaksikan Acara Perbarisan dan Perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2022.
Acara pada pagi ini juga telah memperlihatkan perarakan yang terdiri daripada komponen Kenegaraan, Urus Tadbir Negara, Konvoi Kembara Merdeka, Ketenteraman Awam, Keselamatan Negara dan komponen Keluarga Malaysia.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan kontinjen pertama di bawah kontinjen kementerian-kementerian yang diketuai oleh YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan). Kontinjen-kontinjen kementerian ini memberi gambaran sebenar mengenai kesepakatan sinergi perkhidmatan awam Malaysia dalam melaksanakan amanah dan mencapai matlamat Kerajaan dan negara serta harapan rakyat.
Kepelbagaian dan unsur keunikan yang telah ditonjolkan dalam acara perarakan pada kali ini dapat dirasai dan disambut dengan penuh kegembiraan oleh 50,000 #KeluargaMalaysia yang hadir.
Sambutan Hari Kebangsaan 2022 juga telah melibatkan seramai lebih 20,000 peserta, 76 ekor haiwan dalam perkhidmatan, 369 aset darat dan 68 aset udara daripada pelbagai pihak.
Hadir sama di acara pada pagi ini ialah YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri; Ahli-ahli Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); serta Pegawai-Pegawai Kanan Persekutuan dan Negeri.





