Program Siri Ceramah Kemerdekaan Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 : Nikmat Kemerdekaan
- : 998

PUTRAJAYA, 8 September 2022 - Erti kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada penjajah semata-mata, ia juga merupakan kebebasan minda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir luar yang ingin melihat perpecahan dalam kalangan #KeluargaMalaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu.
Selaras dengan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 pada 30 Julai 2022 di Dataran Putrajaya yang lalu, pelbagai program dan aktiviti dianjurkan termasuk ceramah kenegaraan kerana ia mempunyai peranan yang sangat penting dalam membina negara dan bangsa Malaysia yang berdaulat serta menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan ini dengan menganjurkan satu siri ceramah bertajuk ‘Nikmat Kemerdekaan’, iaitu ceramah siri ketiga di Auditorium, Setia Perdana 1, Kompleks Setia Perdana, Putrajaya.
Matlamat utama penganjurannya adalah untuk memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan warga JPM, selain menyemai semangat #KeluargaMalaysia.
Ia juga bertujuan untuk memupuk dan memperkukuhkan semangat setia negara, jati diri serta menanam rasa tanggungjawab terhadap negara.
Ceramah anjuran Seksyen Perpustakaan, Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), JPM ini telah disampaikan oleh YBrs. Ustaz Azhar bin Tuarno, Penolong Pengarah Kanan, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan telah dihadiri oleh seramai 100 orang warga JPM.




