Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri Menyantuni Para Asnaf di Kuala Muda, Kedah
- : 635
Kuala Muda, 10 September 2022 - Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR) merupakan antara aktiviti yang mampu memberi peluang meningkatkan kolaborasi strategik antara agensi kerajaan dengan penglibatan bersama masyarakat setempat.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak ketinggalan untuk terlibat dalam melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat yang mana pada pagi ini, YBhg. Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), JPM telah menghadiri, sekaligus menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM15,000.00 kepada 100 orang asnaf di Dataran Tsunami, Pantai Muda serta Ziarah Kasih ke beberapa buah rumah di sekitar Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda, Kedah.
Turut bersama TKSUK JPM dalam acara ini ialah YBhg. Dato’ Haji Syed Khairol Anuar bin Syed Abidin, YDP Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Sumbangan ini adalah merupakan sumbangan daripada pihak JPM dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan diharapkan dapat membantu meringankan beban penduduk setempat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.
Selain itu, para peserta daripada pihak JPM turut menyediakan hidangan makan tengah hari dengan memasak secara bergotong royong bersama penduduk setempat.
Program yang julung kalinya diadakan di Kuala Muda ini turut mendapat kerjasama dari Pejabat Daerah Kuala Muda, Majlis Perbadanan Sungai Petani dan YaPEIM.
Turut hadir dalam program ini juga ialah YBhg. Datuk Mohammad bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), JPM; YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan), JPM; YBhg. Datuk Shahrul Kamal Bin Osman, Setiausaha Bahagian Sumber Manusia, JPM; YBrs. Encik Mohd Shahuri bin Mohd Norlin, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan Pembangunan Tanah; dan 80 pegawai-pegawai kanan JPM.
Pelaksanaan program pada pagi ini juga adalah bersempena dengan pelaksanaan Program Pemantapan Organisasi (Team Bonding), Kumpulan Pengurusan, JPM anjuran Bahagian Sumber Manusia (BSM), JPM yang berlangsung mulai 9 hingga 11 September 2022 di Kedah.



