Busana Tradisional Etnik Era 60-an Mewarnai Nuansa Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan
- : 510
BANDA HILIR, 16 September 2022 - Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat Kebangsaan berlangsung penuh meriah dan berwarna-warni dengan kehadiran tetamu serta pengunjung pelbagai kaum berbusana tradisional dan era 60-an menyerikan lagi acara bersejarah yang telah berlangsung di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, Melaka dengan bertemakan 'Keluarga Malaysia, Teguh Bersama'.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa Hari Malaysia hendaklah menjadi sambutan yang mengingatkan seluruh #KeluargaMalaysia tentang kekuatan muafakat dan kesepaduan sosial berteraskan integrasi nasional.
Tanggal keramat 16 September wajar dijadikan titik tolak memperhebatkan azam dan menyemarakkan semangat mencari persamaan.
Berpijak di bumi yang sama, #KeluargaMalaysia perlu terus berdiri menjunjung langit yang sama, menghayati semangat kesetiaan kepada raja dan negara.
Sambutan pada malam ini juga telah diserikan dengan pelbagai persembahan yang menarik perhatian #KeluargaMalaysia yang hadir; antaranya persembahan pembukaan menggambarkan sejarah pembentukan negara Malaysia dengan berkonsepkan patriotisme, imbas kembali, teatrikal dan muzikal.
Turut diadakan Upacara Menandatangani Buku Watikah Pengisytiharan oleh YAB Perdana Menteri; YB Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan, Timbalan Ketua Menteri Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan mewakili Ketua Menteri Sarawak; dan YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah mewakili YAB Ketua Menteri Sabah; serta disaksikan oleh TYT Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka.






