Majlis Penyerahan Surat Penempatan Lantikan Baharu Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 di Jabatan Perdana Menteri
- : 1417
PUTRAJAYA, 20 September 2022 - Seramai 130 orang Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 lantikan baharu telah melapor diri pada 15 September 2022 yang lalu dan pada pagi ini satu majlis telah diadakan bagi penyerahan surat penempatan yang telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Shahrul Kamal bin Osman, Setiausaha Bahagian (SUB), Bahagian Sumber Manusia (BSM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Aras 3, Setia Perdana 1, Kompleks Setia Perdana, Putrajaya.
Dalam ucapan pembukaan sesi amanat, YBhg. Datuk Shahrul Kamal telah merakamkan ucapan tahniah dan syabas atas pelantikan sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 di JPM. Dalam ucapannya juga, beliau mengingatkan agar pegawai lantikan baharu ini dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta menjaga integriti dan etika sebagai penjawat awam setiap masa.
Beliau dalam masa yang sama turut menekankan agar para pegawai menerapkan sikap amanah di mana jua pegawai ditempatkan. Mereka turut diingatkan untuk sentiasa menjaga imej penjawat awam terutamanya dalam menjaga kerahsiaan kerajaan dan negara.
Di akhir ucapan, beliau turut berharap agar para pegawai dapat berkhidmat dengan cemerlang untuk agama, bangsa dan negara.





