56 Peserta Ditauliahkan Sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2022
- : 512
PUTRAJAYA, 17 Ogos 2022 - AKRAB secara konsepnya membawa maksud Amanah, Komitmen, Rasional, Akhlak dan Bestari. Semua ini merupakan ciri-ciri penting yang perlu ada pada seseorang rakan pembimbing. Tanpa ciri-ciri tersebut, peranan seseorang dalam menjalankan fungsi rakan pembimbing menjadi janggal dan tidak berkesan. Ciri-ciri tersebut seharusnya sentiasa diamalkan kerana warga organisasi bukan sahaja akan melihat AKRAB sebagai individu yang mempunyai ilmu psikologi dan kaunseling bahkan sebagai model padanan (role model) yang boleh dicontohi.
Kewujudan AKRAB ini memainkan peranan yang sangat penting di jabatan iaitu AKRAB adalah sebagai penghubung antara mereka yang bekerja di peringkat operasi dan pengurusan atasan dalam menangani isu-isu yang melibatkan hal kerjaya dan kebajikan pekerja. Selain sebagai penghubung, AKRAB juga sangat membantu jabatan khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang semestinya mempunyai isu-isu yang berbeza sama ada dari isu berkaitan tugas dan juga isu keluarga.
Sebagai menyokong peranan AKRAB, pada pagi ini telah berlangsung Majlis Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), JPM yang dilaksanakan secara kerjasama antara Bahagian Sumber Manusia (BSM), JPM dan Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia di Dewan Serbaguna, Aras 3, Kompleks Setia Perdana, Putrajaya.
Semasa majlis ini, seramai 56 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi di bawah JPM telah menerima sijil pentauliahan AKRAB daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Penyampaian sijil ini telah disampaikan oleh YBhg. Datuk Mohammad bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan (TKSUP), JPM.
Pengisian majlis untuk tahun ini pula memberi penekanan kepada kepentingan memperkasa perkhidmatan psikologi dan AKRAB khususnya dalam memastikan kesejahteraan dan kesihatan diri terjamin.
Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Dato' Pauzan bin Ahmar, Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, JPA; Puan Hasbi binti Hasan, Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia; YBhg. Datuk Shahrul Kamal bin Osman, Setiausaha Bahagian (SUB) BSM, JPM; dan Puan Laila Khalidah binti Ismail, Pengarah Bahagian Pengurusan, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.