Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M
- : 905
KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2022 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Dalam Titah Diraja, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut bertitah Rasulullah menuntut hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat berasaskan kepada sikap kasih sayang dan saling menghormati antara satu dengan yang lain. Pemimpin dan rakyat wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan Kerajaan Madinah di bawah pentadbiran Rasulullah SAW adalah kerana kekuatan sosiopolitik yang menjamin hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik.
Kemuncak pada majlis ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2023 kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Syed Zainal Abidin bin Syed Mohamad Tahir, Pengarah Bebas dan Bukan Eksekutif Dagang NeXchange Bhd (DneX) serta Anugerah Maulidur Rasul 2023 bagi enam kategori Ikon iaitu Ikon Sains dan Peradaban, Ikon Media Islam, Ikon Korporat Islam, Ikon Kemanusiaan, Ikon Ibu Sejati (Keluarga Malaysia) dan Ikon Motivator.
Bertemakan “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, majlis ini turut dihadiri oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri; YB Senator Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB Datuk Ahmad Marzuk bin Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); dan YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Turut hadir juga ialah YBhg. Datuk Mohammad bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) dan YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Setiausaha-Setiausaha Bahagian Pentadbiran Am JPM.