KDNK Negara 8.9% Suku Kedua Tahun 2022 Pencapaian Yang Terbaik Di Asia Tenggara
- : 1088
JEMPOL, 8 Oktober 2022 - Malaysia kini bukan sahaja signifikan di mata dunia, malah telah membuktikan pencapaian ekonomi dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua tahun 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama tahun ini.
Pencapaian yang direkodkan ini juga adalah yang terbaik di Asia Tenggara. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding RM23.3 bilion sebelum pandemik. Pertumbuhan ekonomi suku kedua Malaysia juga adalah tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju.
Ini antara petikan ucapan YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri semasa merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sembilan pada petang ini di Dataran Seri Jempol, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan.
JAKM Negeri Sembilan yang merupakan siri jelajah ke-10, membuka tirainya bermula 7 Oktober 2022 sehingga 9 Oktober 2022 dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti menarik untuk para pengunjung #KeluargaMalaysia khususnya warga Negeri Sembilan.
Pada sebelah tengah hari, YAB Perdana Menteri turut menghadiri Kenduri Sekampung Keluarga Malaysia sempena JAKM Negeri Sembilan ini bagi bersama-sama menikmati juadah tengah hari yang berkonsepkan ‘Kenduri Bersama Rakyat’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Palong 7. Pada masa yang sama, beliau turut menyampaikan Lesen Keluarga Malaysia, van jenazah dari Yayasan RISDA dan pelbagai sumbangan lain kepada penduduk setempat.
JAKM pada kali ini dianjurkan oleh Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dan penganjuran pada kali ini telah membawakan Hospital Futuristik iaitu hospital masa hadapan yang menggunakan sistem dan teknologi canggih bagi industri kesihatan Malaysia.
Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan turut disediakan sepanjang program ini berlangsung seperti perkhidmatan pelbagai kementerian dan agensi terus kepada rakyat, program Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan pelbagai Jualan Keluarga Malaysia.
Turut hadir pada Majlis Perasmian pada petang tadi ialah YB Dato' Haji Ismail bin Haji Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Negeri Sembilan; YB Tuan Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar, Menteri Kesihatan; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); YB Dato' Dr. Razali bin Ab Malik, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Sembilan; dan YBhg. Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM).