Hari Sukan Negara Peringkat Jabatan Perdana Menteri Tahun 2022 Disambut Meriah
- : 888
PUTRAJAYA, 7 Oktober 2022 – Hari Sukan Negara merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Belia dan Sukan bagi merealisasikan hasrat dan inspirasi Kerajaan dalam menggalak dan mewujudkan #KeluargaMalaysia yang aktif bersukan dan beriadah serta menjadikannya sebagai satu rutin dalam kehidupan seharian. Kerajaan juga telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah ini sebagai sebuah agenda nasional dalam melahirkan #KeluargaMalaysia yang sentiasa sihat, aktif dan cergas.
Bagi menyahut seruan Kerajaan ini, Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut memeriahkan Hari Sukan Negara dengan menganjurkan Hari Sukan Negara Peringkat Jabatan Perdana Menteri Tahun 2022 di Dewan MAKSAK Putra, Presint 14, Putrajaya, mulai 6 Oktober 2022 dan melabuhkan tirainya pada pagi ini dengan Majlis Perasmian Penutupan oleh YBhg. Dato' Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), JPM.
Antara pengisian Majlis Perasmian Penutupan adalah gimik sepakan futsal shootout oleh TKSUK, JPM dan diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan serta penerima cabutan bertuah.
Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Jabatan Perdana Menteri ini telah disertai seramai 300 orang warga JPM dan sebanyak enam acara telah dipertandingkan; antaranya ialah e-sports, ping pong, netball shootout, futsal shootout dan dart. Pertandingan acara dart bagi kategori VIP turut diadakan.
Turut hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan ialah YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan), JPM; Setiausaha-Setiausaha Bahagian dan warga JPM.