Anak-Anak Muda Keluarga Malaysia Penyumbang Idea Terbesar Di Platform Digital Idea Bina Negara
- : 895
SHAH ALAM, 4 Oktober 2022 - "Idea Bina Negara adalah sebuah platform digital yang paling tepat bagi membolehkan ahli #KeluargaMalaysia terutama golongan belia mengemukakan idea dan inspirasi mereka secara telus ke arah pembangunan negara serta memberi pandangan dalam penyediaan Bajet 2023".
"Aplikasi ini telah menerima lebih daripada 12,000 idea anak-anak muda seluruh negara dan saya amat berbesar hati kerana penyumbang idea terbesar sebanyak 57.9 peratus adalah dalam kalangan belia berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun" menurut YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri dalam ucapannya sempena Perasmian IBN 2022 pada pagi ini di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
YAB Perdana Menteri turut menyatakan bahawa anak-anak muda mempunyai idealisme yang sangat penting kerana mereka didedahkan idea-idea yang lebih progresif yang diperolehi melalui input internet sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Bertemakan “Idea Bina Negara” dan cogan kata “Ini Suara Kita”, satu Sesi Dialog di antara YAB Perdana Menteri bersama para belia turut diadakan sejurus ucapan aluan beliau berlangsung, dengan kehadiran seramai kira-kira 4,000 orang yang hadir secara fizikal, dan kira-kira 50,007 orang hadir secara maya yang terdiri daripada para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh negeri.
Selain Sesi Dialog di DATC, UiTM, pelbagai program berbentuk karnival turut diadakan di Padang Kawad, UiTM yang mempunyai sembilan elemen program iaitu 𝑀𝑜𝑡ℎ𝑒𝑟𝑏𝑜𝑜𝑡ℎ IBN, Pameran Permotoran, Fiesta Kopi, Ekspo Anak Muda, Pameran Inisiatif Strategik, Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan dan Foodtruck, Persembahan Anak Muda Keluarga Malaysia dan Cabutan Bertuah.
Turut hadir ialah barisan Ahli Jemaah Menteri; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah binti Mohd Janor, Naib Canselor UiTM; Naib Canselor- Naib Canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta; YBhg. Dato' Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM); YBhg. Dato' Dr. Zuraidi bin Ishak, Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), JPM; serta wakil belia iaitu Saudara Mohd Izzat Afifi bin Abd Hamid, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Saudara Muhammad A’linur Ahlam bin Abu Bakar, Presiden Majlis Perundingan Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).