Majlis Penutup Sukan Komuniti Penghuni Kuarters Kerajaan Seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri
- : 806
PUTRAJAYA, 1 Oktober 2022 - Seramai 500 peserta daripada Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) sekitar Lembah Klang terdiri daripada Putrajaya, Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Nilai hadir dan berkumpul pada pagi ini bagi memeriahkan Majlis Penutup Sukan Komuniti Penghuni Kuarters Kerajaan Seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad bin Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang bagi setiap acara yang dipertandingkan.
Sebanyak sembilan jenis sukan telah dipertandingkan sejak Ogos lalu dan mencapai kemuncaknya pada hari ini, iaitu dart, ping pong, catur, karom, congkak, bola jaring, bola tampar, badminton dan futsal.
Tujuan utama sukan komuniti ini dianjurkan adalah bagi menyokong usaha kerajaan untuk mengukuhkan semangat dan aspirasi #KeluargaMalaysia serta meningkatkan hubungan ukhwah dalam kalangan penghuni dan komuniti kuarters.
Turut hadir ialah YBrs. Encik Khairul Azhar (Nik) bin Abu Bakar, Setiausaha Bahagian (SUB), BPH, JPM; YBhg. Datuk Dr. Haniff bin Zainal Abidin, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN); serta Ir Marzuki bin Abdullah, Naib Presiden (Kejuruteraan dan Penyelenggaraan), Perbadanan Putrajaya.