Majlis Perjumpaan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri
- : 755
PUTRAJAYA, 7 November 2022 – Memperkukuhkan kerjasama antara Bahagian dan Agensi di Jabatan Perdana Menteri (JPM) amatlah perlu bagi mewujud dan memastikan komuniti JPM bukan sahaja produktif dan berdaya saing dalam aspek pekerjaan, malah seimbang dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif dalam bidang sukan, rekreasi dan lain-lain aktiviti sosial yang positif.
Gaya hidup sihat dan aktif ini juga secara tidak langsung dapat mempengaruhi prestasi kerja yang baik, sekaligus membawa ke arah kecemerlangan organisasi. Ini antara petikan ucapan YBhg. Dato’ Sollehuddin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), JPM di Majlis Perjumpaan TKSUK Bersama Warga JPM pada petang ini di Dewan Makan, Setia Perdana 1, Kompleks Setia Perdana, Putrajaya.
YBhg. Dato’ TKSUK pada majlis tersebut turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada warga JPM yang telah memenangi tiga pertandingan sukan iaitu di Karnival Sukan Air Keluarga Malaysia Putrajaya 2022, Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Inter Kementerian/ Jabatan/ SUK Negeri 2022 dan Kejohanan Ping Pong PTD Liga M 2022.
Selain itu, Sijil Penghargaan turut disampaikan kepada warga JPM yang telah terlibat dalam Program Keceriaan Antara Kementerian Tahun 2022 yang telah mendapat penarafan 5 Bintang dan juga Perarakan Kontinjen JPM sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Setiausaha-Setiausaha Bahagian di Pentadbiran Am, JPM.




