Amanat Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim: Membangun Malaysia MADANI
- : 1830
Putrajaya, 19 Januari 2023 - YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah menyampaikan amanat bertemakan "Membangun Malaysia Madani" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Amanat ini berpaksikan kepada latar pengalaman beliau bersama keprihatinan dan perjuangan rakyat bermula dari gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik, pemimpin kerajaan sehingga dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
MADANI merupakan satu kerangka dasar yang terdiri daripada enam (6) tonggak dasar iaitu:
M - keMampanan
A - kesejAhteraan
D - Daya cipta
A - hormAt
N - keyakiNan
I - lhsan
Agenda dasar kerangka MADANI bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa negara tetapi turut menyentuh pencorakan masa depan serta memenuhi potensi rakyat dan negara.
MADANI disasarkan untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka bagi memperkukuh lapan (8) keperluan iaitu Ekonomi dan Kewangan, Perundangan, Institusi, Pendidikan, Kemasyarakatan, Kebudayaan, Bandar; dan Luar Bandar.
Majlis Amanat ini diadakan sejurus selepas Program Wacana Membangun Malaysia MADANI yang diadakan bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi bagi meneroka tonggak dasar MADANI dalam usaha untuk memberi kefahaman yang lebih tuntas dalam kerangka pemikiran, falsafah, etika dan tindakan dalam membangun Malaysia MADANI.
Wacana tersebut telah disampaikan oleh empat (4) orang ahli panel yang terdiri daripada Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Shari, Presiden Kolej Dar AI-Hikmah, YBhg. Dato' Prof. Dr. Muhd Nur Manuty, Pengerusi Eksekutif lnstitut Darul Ehsan (IDE), YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman dan Pengarah lnstitut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), YBrs. Prof. Dr. Haslinda Abdullah.
YAB Perdana Menteri juga meluncurkan versi terkini buku "Membangun Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi" yang diterbitkan oleh lnstitut Darul Ehsan (IDE) dengan 215 halaman.
Di samping itu, Mini Pameran Malaysia MADANI turut diadakan bagi memberi pencerahan secara dekat kepada hadirin mengenai enam (6) tonggak dasar MADANI melalui bahan pameran yang memberikan maklumat serta penerangan konsep MADANI.
Turut hadir adalah Timbalan-timbalan Perdana Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Ahli-ahli Jemaah Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Menteri-menteri Besar, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ahli-ahli Dewan Negara dan Rakyat, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri, Ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO), belia dan komuniti.
Amanat Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim: Membangun Malaysia MADANI anjuran Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan kerjasama lnsitut Darul Ehsan (IDE) telah dihadiri oleh 2,500 hadirin secara fizikal dan secara dalam talian menerusi siaran langsung Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA TV, Facebook JPM dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).




