Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara Tahun 2023
- : 1643
PUTRAJAYA, 9 Februari 2023 - YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) hari ini menyampaikan amanat kepada anggota perkhidmatan awam sempena Majlis Amanat Ketua Setiausaha Negara yang berlangsung di Auditorium Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Dalam kita memberikan perkhidmatan kepada rakyat, kita hendaklah pastikan sentiasa ada penambahbaikan sama ada dari segi sistem, peraturan, proses kerja, serta penghasilannya agar ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. Saya mengharapkan kita sebagai penjawat awam terus memberikan perkhidmatan yang mengutamakan rakyat dengan penuh profesional dan berintegriti, apatah lagi dalam era pascanormal yang mencabar dan penuh ketidaktentuan. Usaha untuk memaju dan membangunkan negara ditambah dengan situasi semasa serta pegangan kukuh kepada ikrar profesionalisme perkhidmatan awam demi menjamin penyampaian perkhidmatan terbaik”, merupakan antara intipati ucapan YBhg. Tan Sri Dato’ Seri KSN semasa majlis amanat ini.
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri KSN turut menegaskan bahawa selaras dengan hasrat YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam membangunkan Malaysia MADANI, semangat dan komitmen penjawat awam merupakan tonggak utama bagi menterjemahkan tindakan pelaksanaan dasar Kerajaan melalui penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan kepada rakyat.
Majlis amanat ini melibatkan kehadiran seramai 500 orang yang terdiri daripada Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha-setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Pengarah Persekutuan, Ketua-ketua Pengarah Badan Berkanun Persekutuan dan Naib Canselor Universiti Awam termasuk YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK). Amanat turut disiarkan secara dalam talian menerusi saluran Facebook Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan JPA.





