Majlis Iftar Ramadan Jabatan Perdana Menteri (JPM) 2023
- : 395
PUTRAJAYA, 13 April 2023 – Sempena menyambut kedatangan Syawal dan merebut keberkatan Ramadan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah menganjurkan Majlis Iftar Ramadan JPM 2023 bagi meraikan serta menyantuni anak yatim, pelajar tahfiz dan anggota barisan hadapan negara.
Majlis yang berlangsung di Puspanitapuri, Putrajaya ini dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Datuk Seri Sollehhudin Alyubi bin Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), JPM serta Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi di JPM.
Program dimulakan dengan penyampaian Bantuan Infaq Ramadan kepada 25 wakil kelab di bawah Kelab Bukit Perdana, JPM dan sumbangan wang tunai kepada 40 orang pelajar tahfiz dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz (SMISTA-MAIWP) serta 40 orang anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin.
Bantuan Infaq Ramadan dan Aidilfitri telah diperuntukkan dalam majlis ini dengan pengurusan kewangan wang zakat yang diterima oleh Kelab Bukit Perdana, JPM melalui Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Penerima sumbangan adalah terdiri daripada golongan Asnaf Fakir dan layak untuk menerima wang zakat JPM.
Bantuan Infaq Ramadan dan Aidilfitri ini merupakan acara tahunan bagi Kelab Bukit Perdana, JPM dan kelab ini menerima permohonan seramai 654 orang pemohon.
Turut hadir di majlis ini ialah anggota barisan hadapan beruniform seramai 310 anggota terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan lain-lain. Bagi tidak beruniform terdiri daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Bahagian Penyelidikan, JPM dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta warga Pentadbiran Am, JPM.
Pengamal media juga turut hadir memeriahkan majlis pada malam ini.






