Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia MADANI Dalur (PPAM MADANI Dalur) Presint 18, Putrajaya
- : 679
PUTRAJAYA, 1 Jun 2023 - Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur (PPAM Madani Dalur) Presint 18, Wilayah Persekutuan Putrajaya di Dewan Seri Dalur.
PPAM Madani Dalur yang siap dibangunkan oleh Perbadanan Putrajaya menerusi pemaju TRC Land Sdn. Bhd. ini mempunyai sejumlah 500 unit kediaman dengan keluasan lantai adalah 1,000 dan 1,200 kaki persegi. Harga jualan yang ditawarkan adalah tidak melebihi RM260,000.00 seunit iaitu lebih rendah daripada harga pasaran tidak termasuk kos nilai tanah di Putrajaya. Di samping itu, penetapan syarat minimum 60 peratus daripada jumlah unit pembangunan ini diperuntukkan kepada kuota Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah di kalangan B40.
Pembangunan PPAM Madani Dalur ini turut merangkumi kemudahan seperti surau, sudut bacaan Al-Quran, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton, taman permainan kanak-kanak dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif dan berkualiti.
Dalam majlis yang sama, YAB Perdana Menteri turut menandatangani plak sebagai simbolik Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur.
Turut hadir di majlis tersebut adalah YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan; YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); YBhg. Datuk Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM); YBhg. Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP); YBhg. Dato' TPr. Fadlun Mak Ujud, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) dan YBhg. Tan Sri Dato' Sri Sufri Haji Mohd Zin, Pengarah Urusan TRC Land Sdn. Bhd.





