KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Berangkat Bercemar Duli ke Rumah Seri Kenangan, Cheras
- : 324
CHERAS, 7 Jun 2023 – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi Tahun 2023, KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong telah berkenan berangkat bercemar duli ke Rumah Seri Kenangan (RSK), Cheras, Selangor.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 10.00 pagi disambut oleh isteri Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Seri Paduka Baginda telah berkenan mengurniakan replika cek sumbangan sebanyak RM30,000 kepada RSK Cheras dan melawat Pusat Rehabilitasi RSK.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menyantuni warga pusat itu yang tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan Seri Paduka Baginda.
RSK ditubuhkan untuk memberi perlindungan, pemulihan, pembangunan dan pengintegrasian kepada warga emas bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.
Pada ketika ini, jumlah penghuni warga emas di RSK Cheras adalah seramai 211 orang terdiri daripada 126 lelaki dan 85 perempuan.
Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM).






