Majlis Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang
- : 297
TASEK GELUGOR - YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Kasih Ihsan di Kampung Tok Bedu, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 17 Jun 2023, semalam.
Rumah Kasih Ihsan merupakan antara inisiatif oleh Kerajaan Perpaduan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dalam usaha menyediakan kediaman yang selesa kepada rakyat berpendapatan rendah terutamanya dari golongan miskin tegar.
Sebagai projek rintis, sebanyak empat buah Rumah Kasih Ihsan telah dibina di Pulau Pinang iaitu di Kampung Tok Bedu, Padang Menora, Penaga dan Machang Bubok, di Bukit Mertajam.
Rumah-rumah ini dibina di atas tanah berstatus Lesen Kependudukan Sementara (TOL) dan tanah milik keluarga yang diberikan kebenaran untuk membina kediaman atas tanah tersebut.
Rumah Kasih Ihsan berkeluasan 660 persegi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, dapur serta bilik air membabitkan kos pembinaan sebanyak RM75,000 seunit.
Majlis penyerahan ini turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato' Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN); YBhg. Datuk Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA); dan YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), JPM.