Program Cakna MADANI YAB Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan
- : 341
PUTRAJAYA, 13 Julai 2023 - Lebih 2000 pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan serta Agensi Keselamatan dan Ketenteraman Awam hadir ke program Cakna MADANI YAB Perdana Menteri bersama Agensi Penguatkuasaan yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam amanatnya mengumumkan penambahbaikan pembangunan organisasi dan kemajuan kerjaya, insentif lain serta saraan dan kemudahan bagi pegawai dan anggota penguat kuasa untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat selaras dengan aspirasi membangun Malaysia MADANI.
YAB Perdana Menteri turut mengingatkan seluruh Agensi Penguatkuasaan supaya sentiasa menambah baik dan meningkatkan prestasi kerja, di samping tekad membanteras ketirisan. Kelemahan yang dikesan dalam tatakelola pentadbiran dan penugasan perlu diperbaiki segera bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai dua konsep utama Malaysia MADANI iaitu ketelusan dan kerjasama, di samping melahirkan pegawai dan anggota yang mempunyai pembangunan modal insan yang mampan dan kemajuan dari segi pemikiran serta peradaban.
Turut hadir di program tersebut adalah YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato' Dr. Zulkapli Mohamed, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri.