Program Sentuhan MADANI Peringkat Negeri Kedah
- : 302
ALOR SETAR, 15 Julai 2023 - YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada hari ini menyantuni masyarakat dalam program ramah mesra bersama pesawah, nelayan, penoreh dan pekebun kecil peringkat negeri Kedah yang berlangsung di Ibu Pejabat MADA, Alor Setar, Kedah.
Dalam ucapannya, YAB Perdana Menteri telah menyentuh tentang Program Penanaman Padi lima musim dalam tempoh dua tahun yang dijangka dapat membantu meningkatkan pengeluaran beras negara. Walau bagaimanapun, ia perlu disokong dengan projek pembangunan infrastruktur seperti pembinaan rangkaian tali air dan parit.
Ini antara usaha meningkatkan pengeluaran beras negara selain membantu pesawah keluar daripada kategori miskin tegar.
Pada majlis yang sama, YAB Perdana Menteri telah menyampaikan Insentif Pembangunan Sektor Perikanan, Tanaman dan Bantuan Khas Sektor Tanaman Padi yang diharap dapat memberi manfaat kepada semua penerima di negeri Jelapang Padi ini.
Turut hadir di program tersebut, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri; YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM).