Majlis Sambutan Ma‘al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M
- : 175
KUALA LUMPUR, 19 Julai 2023 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Sambutan Ma‘al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menyampaikan Titah Diraja serta diikuti dengan penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
YBhg. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, mantan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Kuala Lumpur telah dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2023M manakala Al-Allamah Sheikh Abubakr Ahmad, Mufti Besar India telah dianugerahkan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa Tahun 1445H/2023M.
Turut hadir ialah YAB Perdana Menteri; Timbalan-timbalan Perdana Menteri; barisan Menteri-menteri dan Timbalan Menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).
Bertemakan “Perpaduan Teras Malaysia Madani”, majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK), Jabatan Perdana Menteri (JPM); Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Duta-Duta; Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian; Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan; Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan orang awam.