Sesi Penilaian Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023
- : 193
PUTRAJAYA, 10 Ogos 2023 – Hari ini telah berlangsung Sesi Penilaian Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023 di Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Panel penilai ke JPM adalah Dr. Noor Azizi bin Mohd Ali, Pengarah Kanan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia; Encik Mohd Rizal bin Mohd Hamdan, Penolong Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara; dan Encik Mohd Taufik bin Abdul Jalil, Timbalan Pengarah, Bahagian Perkhidmatan Komunikasi Dan Pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Malaysia. Panel penilai ini telah disambut mesra oleh warga JPM di Lobi Setia Perdana 8, Kompleks Setia Perdana.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Program Keceriaan Antara Kementerian Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023 merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bagi menggalakkan penjawat awam mempamerkan rasa cinta dan patriotik kepada negara selain menerapkan semangat berpasukan.
Setiap kementerian dinilai berdasarkan tiga aspek iaitu kreativiti, daya cipta dan nilai tambah yang digabungkan dalam hiasan bertemakan Hari Kebangsaan di premis dan ruang pejabat masing-masing. Program ini juga menekankan penggunaan bahan kitar semula memandangkan kreativiti bukanlah berpandukan kualiti material semata-mata tetapi cara penggunaan bahan dan menterjemahkannya seiring tema sambutan.
Semoga usaha, jalinan kerjasama dan semangat yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan JPM, Felda, Institut Semarak Felda (ISEF), Felda Golden Ventures (FGV), Bahagian Kawal Selia Felda (BKSF) dan Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak (BHESS) yang telah bersama-sama menyokong dan menyemarakkan semangat sambutan Hari Kebangsaan melalui program ini mampu menyumbangkan nilai kepada penilaian hari ini bagi mengekalkan kecemerlangan JPM sepertimana tahun sebelum ini.






