Program Semarak Merdeka MADANI Jabatan Perdana Menteri
- : 394
PUTRAJAYA, 15 Ogos 2023 – Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Bulan Kebangsaan Tahun 2023 di peringkat Jabatan Perdana Menteri (JPM), Badan Kebajikan Dan Sukan (BKDS) JPM dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Kecil (PCK) JPM telah menganjurkan Program Semarak Merdeka MADANI JPM pada hari ini.
Program yang dianjurkan khas untuk warga JPM ini telah mempertandingkan beberapa acara seperti Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik, Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Mencipta Poster.
Selain itu, terdapat juga pertandingan yang melibatkan anak-anak warga JPM iaitu Pertandingan Pakaian Beragam bagi kanak-kanak berusia 6 tahun, serta Pertandingan Mewarna bagi kanak-kanak penghuni Taska & Tadika Setia Perdana yang berusia 5 dan 6 tahun.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Abdul Shukor bin Mahmood, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) JPM. Turut hadir adalah YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan & Pembangunan) JPM serta Setiausaha-setiausaha Bahagian JPM. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran dan sokongan warga JPM.






