logo
tukarbahasa
faq
hubungi kami
maklumbalas
peta laman
carian

Semarak Hari kebangsaan Dan Hari Malaysia Di Merdeka MADANI @ PUSPANITA

 

PUTRAJAYA, 22 Ogos 2023 - Sebagai mendukung semangat Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) turut mengambil inisiatif untuk meraikan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik kepada ahli PUSPANITA dan juga turut terbuka kepada rakyat Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, isteri kepada YAB Perdana Menteri merangkap Penaung PUSPANITA. Turut hadir ialah YBhg. Puan Sri To’ Puan Seri Norizam Che Mohd Nor, Yang DiPertua PUSPANITA dan ahli-ahli PUSPANITA dari seluruh negara.
Bertemakan Merdeka Madani @PUSPANITA, majlis pada hari ini dimulakan dengan Pertandingan Berbalas Pantun Merdeka Piala Penaung PUSPANITA. Pertandingan yang julung kali diadakan ini melibatkan empat pasukan yang bertanding di peringkat separuh akhir dan akhir. Dua pasukan yang layak ke pertandingan akhir adalah pasukan PUSPANITA Cawangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan pasukan PUSPANITA Cawangan Negeri Johor.
Selain itu, peringkat akhir Pertandingan Bintang Patriotik PUSPANITA turut berlangsung melibatkan empat orang peserta yang terpilih daripada saringan awal yang diadakan sebelum ini. Para peserta turut dihiburkan dengan pemenang Pertandingan Si Cilik Merdeka iaitu adik Nur Marissa Khayla Mohd Zaidi, 8 tahun yang menyampaikan pengkisahan bertajuk ”Harapan Anak Merdeka”.
Selari dengan semangat bulan kemerdekaan dan bagi menghargai para pahlawan dan perwira yang berkorban mempertahankan negara, sesi perkongsian pengalaman daripada seorang veteran tentera wanita iaitu YBhg. Brigedier Jeneral (B) Dato’ Norhuda Ahmad turut disajikan kepada para penonton. YBhg. Brigedier Jeneral (B) Dato’ Norhuda merupakan anggota tentera wanita pertama yang dinaikkan pangkat sebagai Brigedier Jeneral dan berpengalaman luas dalam bidang perisikan ketenteraan dengan jawatan akhir di Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan.
YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peserta dan penyokong yang hadir memeriahkan program. YABhg. Dato’ Seri dalam ucapan ringkasnya kepada peserta turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para peserta dan berharap agar objektif program ini tercapai.
Selari dengan aspirasi Malaysia Madani, PUSPANITA Kebangsaan turut menghulurkan sumbangan kebajikan kepada Persatuan Veteran ATM dan persatuan berkaitan kebudayaan dan permainan tradisional. Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para veteran tentera dan juga persatuan kebudayaan dalam membantu memelihara dan mengekalkan kebudayaan dan permainan tradisional yang selari dengan identiti kaum dan jati diri masyarakat kita yang berbilang bangsa.
Para ahli PUSPANITA turut diseru supaya menjadikan program ini sebagai platform bagi memperteguh semangat patriotisme dalam diri masing-masing, di samping mempererat hubungan dalam kalangan ahli berbilang latar belakang. Pameran berkaitan aktiviti kesenian dan kebudayaan turut dipamerkan di kawasan program untuk tontonan para peserta secara dekat. Antaranya adalah pameran daripada Persatuan Seni Khat Kebangsaan, Persatuan Pemanah Tradisional, Persatuan Gasing Pangkah Putrajaya dan Persatuan Kesenian dan Kebudayaan India Kuala Lumpur dan Selangor. Pengisian program yang telah dirancang ini merupakan instrumen perpaduan Malaysia Madani yang ditekankan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di bawah Kerajaan Perpaduan.
Sebagai sebuah pertubuhan yang kini dianggotai oleh kira-kira 145 ribu orang ahli di seluruh negara, PUSPANITA yang ditubuhkan pada 1 Mac 1983 merupakan salah sebuah pertubuhan berkebajikan dengan objektifnya untuk menyatukan antara penjawat awam wanita dengan para suri. PUSPANITA aktif melaksanakan aktiviti kebajikan dan kesukarelawan dan turut terlibat dalam pelbagai aktiviti di peringkat Kementerian dan Negeri.
 
 
 
 
 
 
 

  • Stats on: 2023-12-09
  • Total visited pages: 581
  • Total visitors: 376
  • Average time: 00:09:38
  • Page per user: 1
  • Visitors counter
    973.579
  • Realtime stats
  • Users on page:
  • Visitors:
  • Logged users:
  • Total users:
Prestasi Belanja Mengurus Jabatan Perdana Menteri

Hubungi Kami

JABATAN PERDANA MENTERI
Setia Perdana 8, Kompleks Setia Perdana,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya, Malaysia
    2°56'10.4"N 101°41'40.0"E
 603-8000 8000
 603-8888 3904
qr
Web Mobile

Tag Awan

Tarikh Kemaskini :
Jumlah Pelawat :
Paparan terbaik menggunakan pelayar Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi skrin 1366 x 768
Hak Cipta © 2021, Jabatan Perdana Menteri
107388